BISNES & EKONOMI

RisSMart sasar jualan RM30 juta, perkasa ekonomi desa – Zahid

SHAH ALAM – Inisiatif pembangunan ekosistem peruncitan RisSMart dilihat mampu menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh ekonomi komuniti desa dengan sasaran nilai jualan sehingga RM30 juta menjelang 2030.

zahid hamidi
Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bersama seorang petugas di RizMart hari ini

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha digerakkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bersama Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu selaras dengan Aspirasi Desa MADANI dan agenda Ekonomi Desa Nasional.

Menurutnya, pembangunan desa perlu terus diperkasakan secara strategik dan tersusun kerana ia menjadi asas penting kepada kekuatan ekonomi serta kesejahteraan rakyat, khususnya komuniti pekebun kecil.

“RISDA bukan sahaja berperanan dalam sektor komoditi, malah turut memperluaskan fokus kepada keusahawanan, agromakanan dan pemasaran bagi memastikan pekebun kecil memiliki sumber pendapatan lebih pelbagai dan mampan,” katanya ketika merasmikan pasar raya RisSMart Grocer di Urban Eats@Kwasa Damansara di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Perladan

gan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad dan Pengerusi RISDA, Datuk Manndzri Nasib.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Pelan Strategik RisSMart 2030 turut menetapkan beberapa sasaran termasuk pemasaran 1,000 variasi produk (SKU), pembangunan 25 SKU jenama sendiri serta pembukaan 50 outlet domestik dan lima outlet di peringkat global.

Selain itu, sebanyak 15 francais dijangka diwujudkan bersama pembangunan pusat pengedaran, hab pemprosesan, pangkalan data dan aplikasi mudah alih bagi menyokong ekosistem bersepadu.

Dalam pada itu, pembukaan RisSMart Grocer dilihat sebagai langkah penting dalam menghubungkan usahawan desa secara langsung ke pasaran pengguna melalui platform peruncitan moden.

Sehingga kini, sebanyak 265 produk keluaran usahawan bimbingan RISDA merangkumi makanan segar, sejuk beku dan barangan keperluan harian telah dipasarkan dan jumlah itu dijangka terus meningkat.

Pada masa sama, usahawan turut menerima bimbingan menyeluruh termasuk aspek penjenamaan, pembungkusan, pematuhan piawaian keselamatan makanan, strategi pemasaran dan pengurusan rantaian bekalan.

Sementara itu, RISDA melalui syarikatnya RISDA Agrifood Industries Sdn Bhd (RAFI) kini mengoperasikan 14 outlet RisSMart24 dan tiga outlet RisSMart Butchery di seluruh negara.

Jelasnya, pengukuhan ekosistem RisSMart bukan sahaja membuka peluang pasaran lebih luas, malah berpotensi meningkatkan pendapatan, mewujudkan peluang pekerjaan serta mengangkat martabat komuniti pekebun kecil ke tahap lebih tinggi.

“Pendekatan kolaboratif ini diyakini mampu membina ekonomi desa yang lebih mampan, berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button