Langkah tersebut diumumkan pada Sabtu susulan dakwaan Teheran bahawa Amerika Syarikat masih meneruskan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran, sekali gus melanggar persefahaman yang dicapai dalam rundingan diplomatik antara kedua-dua pihak.
Menurut kenyataan komando tentera pusat Iran, kawalan di laluan sempit itu kini kembali ke tahap sebelumnya dan diletakkan di bawah pengawasan ketat angkatan bersenjata.
Perkembangan itu berlaku ketika lebih sedozen kapal dagang dilaporkan berada di laluan berkenaan, dengan sebahagiannya meneruskan pelayaran secara berhati-hati menghampiri perairan Iran seperti diarahkan pihak berkuasa negara itu.
Tinjauan data penjejakan maritim turut menunjukkan beberapa kapal menyiarkan identiti negara seperti India dan China, dipercayai sebagai langkah menzahirkan pendirian berkecuali dalam konflik yang sedang memuncak.
Pada masa sama, terdapat kapal yang mengambil keputusan berpatah balik susulan ketidaktentuan keselamatan, termasuk sekurang-kurangnya dua kapal tangki yang dilaporkan membatalkan perjalanan mereka menuju ke laluan tersebut.
Selat Hormuz kekal sebagai antara laluan paling penting di dunia, menyalurkan hampir satu perlima bekalan minyak mentah dan gas asli cecair global, sekali gus menjadikannya nadi utama perdagangan tenaga antarabangsa.
Ketegangan terbaharu ini tercetus ketika rundingan damai antara Iran dan Amerika Syarikat masih berlangsung, dengan kedua-dua pihak terus berbeza pendirian khususnya berkaitan sekatan laut serta isu stok uranium Tehran.