Kerajaan sedia potong gaji menteri jika ekonomi meruncing – PM
CYBERJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan mempertimbangkan pemotongan gaji menteri sekiranya keadaan ekonomi negara menjadi lebih mencabar pada masa hadapan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan gaji anggota Kabinet ketika ini masih berada pada tahap relatif rendah dan merupakan hak yang setimpal dengan prestasi mereka.
“Gaji kita secara relatif memang rendah, yang penting bekerja dengan baik, saya tiada masalah tiada gaji.
“Tetapi gaji itu merupakan hak mereka, saya ingat munasabahlah. Bagaimanapun tiada halangan jika keadaan ekonomi lebih runcing, kita fikirkan,” katanya memetik laporan Astro Awani.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini hari ini.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Menteri Kewangan Indonesia, Purbaya Yudhi Sadewa mencadangkan pemotongan gaji menteri negara itu sebanyak 25 peratus.
Untuk rekod, kali terakhir Malaysia melaksanakan pemotongan gaji menteri pada Disember 2022 sebanyak 20 peratus sebagai langkah pengurusan fiskal Kerajaan MADANI yang baharu dibentuk ketika itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















