JENAYAH & MAHKAMAH

80 suspek sindiket penipuan dihadapkan ke mahkamah, bilik bicara sesak

TAWAU – Suasana di Kompleks Mahkamah Tawau hari ini bertukar kecoh apabila seramai 80 individu disyaki terbabit dalam sindiket penipuan dalam talian dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan di bawah kawalan ketat polis.

Kesemua tertuduh tiba dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau (IPD) dengan menaiki dua trak kira-kira jam 9.11 pagi sebelum dibawa masuk secara berperingkat ke dalam kompleks mahkamah.

Menurut laporan media, semua suspek digari dan dirantai dalam beberapa kumpulan kecil, dengan ada antaranya kelihatan tenang, manakala sebahagian lagi cuba mengelak daripada dirakam pihak media.

Keadaan dalam bilik bicara turut menjadi sesak berikutan jumlah tertuduh yang ramai sehingga sebahagian mereka terpaksa duduk di lantai, termasuk di ruang galeri awam.

Prosiding mahkamah dijalankan dengan bantuan jurubahasa berikutan majoriti tertuduh hanya memahami bahasa Mandarin.

Untuk rekod, kesemua suspek sebelum ini direman dua kali iaitu pada 8 dan 11 April sebelum tempoh reman masing-masing tamat kelmarin dan semalam.

Kes itu terbongkar hasil serbuan kira-kira jam 9.20 malam pada 7 April lalu yang dipercayai menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis dari China.

Sindiket tersebut dipercayai menyasarkan mangsa di luar negara, khususnya warga China yang menetap di Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa kini meneruskan proses pendakwaan terhadap semua suspek mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button