Langgar lari: Suspek merupakan pegawai kanan polis, disahkan hidap skizofrenia
KUALA LUMPUR – Suspek kes langgar lari yang tular di media sosial hingga menyebabkan seorang anggota polis trafik cedera di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, Jumaat lalu adalah seorang pegawai kanan polis yang disahkan menghidap skizofrenia.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata suspek berpangkat Inspektor yang berusia 40 tahun itu juga sedang menjalani cuti perubatan khas dan dalam proses dibersarakan atas syor Lembaga Perubatan.
“Suspek disahkan mempunyai masalah kesihatan mental, iaitu skizofrenia, dan sedang menerima rawatan berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Fadil berkata, suspek berjaya ditahan selepas dikejar polis dari sekitar Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin di sini, petang tadi.
Terdahulu, katanya, suspek dikesan sekitar jam 3.45 petang oleh anggota Unit Kawalan Lalu Lintas, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, hasil risikan serta semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Bagaimanapun, beliau berkata, cubaan untuk menahan kenderaan dipandu suspek gagal ketika itu apabila lelaki berkenaan bertindak memecut keretanya untuk meloloskan diri secara berbahaya.
Malah, Fadil berkata, kereta dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan lain ketika dikejar dari Jalan Cheras hingga ke Jalan Empat, Chan Sow Lin.
“Sepanjang operasi itu, polis trafik membuka laluan untuk mengelak kemalangan lebih serius dan mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.
“Dalam cubaan melarikan diri, kereta dipandu suspek melanggar beberapa kenderaan orang awam, termasuk Mercedes Benz dan Proton Saga, serta beberapa kenderaan lain yang masih belum membuat laporan polis, setakat ini.
“Sebuah kenderaan Unit Kereta Peronda (MPV) polis yang menyertai operasi itu turut mengalami kerosakan,” katanya.
Bagaimanapun, Fadil berkata, suspek akhirnya dapat diberkas di Jalan Empat, Chan Sow Lin, dengan bantuan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras dan IPD Brickfields.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiada barang salah ditemui, manakala ujian pernafasan alkohol menunjukkan keputusan negatif.
“Suspek akan menjalani ujian saringan air kencing bagi melengkapkan siasatan,” katanya.
Fadil memaklumkan setakat ini, pemilik tujuh kenderaan sudah tampil membuat laporan polis, membabitkan lima kereta awam dan masing-masing sebuah MPV polis dan motosikal awam milik pegawai polis.
“Polis menyeru mana-mana pihak yang terbabit kejadian itu agar segera tampil membuat laporan di mana-mana balai polis trafik berhampiran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Razif Jamaluddin, melalui talian 019-4482852 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur (03-2026 0267 / 0269),” katanya.
Fadil berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana memandu secara melulu serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Dalam kejadian sekitar jam 10.47 malam Jumaat lalu, seorang anggota trafik cedera akibat dilanggar sebuah Perodua Axia ketika bertugas mengawal lalu lintas di Jalan Sultan Yahya Petra.
Sebelum ini, Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, dilaporkan berkata mangsa dilanggar dari belakang sebelum kenderaan itu melarikan diri dari tempat kejadian.
Insiden itu menyebabkan mangsa, Konstabel Roslan Salleh, 27, cedera di tapak tangan kanan dan belakang kepala serta sakit di bahagian rusuk.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |











