BERITA SEMASA

Sukarelawan GSF 2.0 sedia hadapi intimidasi, tekad bolosi sekatan

BARCELONA – Sukarelawan Misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berdepan sebarang kemungkinan termasuk intimidasi dalam usaha membolosi sekatan ke Gaza.

Peserta misi, Zainal Rashid Ahmad berkata, walaupun misi berkenaan membawa pendekatan tanpa keganasan, persiapan rapi tetap dilakukan bagi menghadapi tindakan tentera Israel.

“Walaupun tema misi adalah tiada keganasan, peserta perlu membuat persediaan menghadapi intimidasi tentera Zionis,” memetik BH online.

Menurutnya, penyertaan flotila kali ini melibatkan kira-kira 100 kapal, dengan sebahagian daripadanya akan bergerak secara taktikal bagi cubaan menembusi sekatan.

Beliau berkata, semua peserta turut menjalani latihan selama 26 jam yang menekankan aspek kerja berpasukan serta disiplin pelayaran sebagai persediaan menghadapi situasi sebenar.

Dalam pada itu, Zainal menjelaskan misi berkenaan digerakkan susulan sekatan berterusan terhadap kemasukan bantuan ke Gaza walaupun gencatan senjata telah berlangsung selama enam bulan.

“Ketika ini hanya sekitar 10 peratus bantuan dibenarkan masuk, manakala bantuan perubatan dan bahan binaan masih tidak dibenarkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyeru rakyat Malaysia untuk menyatakan sokongan terhadap Gaza seiring dengan gerakan solidariti antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada 22 April ini.

Antara tuntutan utama adalah menggesa tentera Israel berundur dari Gaza serta menghentikan hukuman mati terhadap tahanan Palestin.

“Dianggarkan kira-kira 10,000 tahanan Palestin yang dibicarakan melalui proses tidak adil berdepan hukuman tersebut,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button