BERITA SEMASA

Kos insurans, pengangkutan punca harga minyak meningkat – PM

PUTRAJAYA – Kenaikan harga minyak di negara ini ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan bekalan semata-mata, sebaliknya didorong oleh peningkatan kos logistik termasuk insurans dan pengangkutan susulan ketidaktentuan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat perkembangan yang sedikit meredakan keadaan, namun situasi keseluruhan masih belum stabil.

Menurut beliau, cabaran utama melibatkan laluan penghantaran minyak antarabangsa khususnya di Selat Hormuz yang terkesan akibat konflik serantau.

“Kalau soal laluan, alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran membolehkan kapal Petronas melepasi laluan itu dan dijangka tiba di Pengerang dalam beberapa hari lagi.

“Tetapi ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang diperoleh sebelum perang kini meningkat kerana kos insurans telah melepasi 100 peratus, manakala kos pengangkutan juga bertambah,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.

Anwar berkata, konflik di Asia Barat memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan global, sekali gus meningkatkan kos keseluruhan penghantaran minyak.

“Walaupun bekalan fizikal tidak terjejas secara kritikal, faktor keselamatan dan risiko perjalanan menyebabkan syarikat perlu menanggung kos tambahan yang akhirnya mempengaruhi harga pasaran,” katanya lagi.

Beliau turut berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan harga bahan api serta mengurangkan beban rakyat.

“Situasi semasa menunjukkan bahawa harga minyak global dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat selagi ketegangan geopolitik belum reda, sekali gus memerlukan pendekatan berhati-hati dalam pengurusan ekonomi negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button