BERITA SEMASA

Musa Hassan langsung perkahwinan malam tadi

CYBERJAYA – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilaporkan melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita bernama Qistina Lim di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi.

Majlis resepsi perkahwinan Musa tersebut dikongsi dalam satu hantaran di laman Facebook dengan identiti Mohammad Izzat Hassan.

Individu dipercayai adik kepada Musa Hassan itu turut berkongsi beberapa gambar persandingan abang sulungnya itu, keluarga dan tetamu yang hadir.

“Syukur Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Musa Hassan dan Puan Sri Qistina Lim, anda (Musa) sentiasa menjadi idola, penasihat, pemimpin dan abang kepada saya.

“Selamat datang kak long Qistina dalam keluarga kami. Semoga mendapat mawaddah, rahmah dan kekal sehingga ke jannah,” kata hantaran tersebut.

Selain itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar turut membuat siaran langsung Facebook yang berdurasi dua minit 18 saat berkaitan majlis resepsi Musa.

“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” katanya menerusi akaun media sosialnya itu.

Beberapa pengguna Facebook yang menonton siaran langsung itu turut mengucapkan tahniah dan mendoakan rumah tangga pasangan itu berkekalan.

Sebagai rekod, Musa sebelum ini berpisah dengan isterinya selepas Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42 memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.

Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button