KPKT sasar 100,000 pemilikan rumah menerusi SJKP tahun ini
IPOH – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan untuk membantu 100,000 individu memiliki rumah pertama menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) pada tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan mengumumkan tambahan peruntukan sebanyak RM10 bilion bagi tujuan jaminan kredit ini dalam Belanjawan 2026, menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada RM40 bilion.
“Melalui inisiatif ini, KPKT menyasar untuk membantu 100,000 individu memiliki rumah menjelang akhir tahun ini,” ujarnya dalam ucapan sempena Majlis Penutup Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Negeri Perak, di sini hari ini.
Sehingga 30 September lalu, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion dan berjaya membantu seramai 97,180 individu memiliki rumah idaman masing-masing.
Dalam pada itu, Kor Ming menegaskan komitmen KPKT untuk memastikan harga rumah mampu milik kekal stabil walaupun berdepan kenaikan kos bahan binaan di pasaran global susulan konflik di Asia Barat.
“KPKT turut memantau secara rapi agar projek-projek perumahan yang sedang dilaksanakan tidak terjejas atau mengalami kelewatan akibat situasi tersebut,” tambah beliau.
“Inilah komitmen dan janji kita dalam memperkukuh paksi kehidupan rakyat serta memastikan masa hadapan negeri Perak dan negara terus kekal cemerlang, gemilang dan terbilang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








