BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Bekas pengerusi kuil ditahan SPRM, disyaki seleweng dana RM50,000

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang bekas pengerusi sebuah kuil di negeri ini kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kira-kira RM50,000.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 70-an itu ditahan kira-kira pukul 3 petang pada 2 April lalu ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada November 2021 dengan bersubahat bersama seorang lagi individu yang telah ditahan pada Mac lalu.

“Mereka disyaki mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi kerja-kerja pembaikan kuil berkenaan, namun kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan,” katanya.

Tambah sumber, siasatan kini turut tertumpu kepada status kuil tersebut yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 1950-an, dengan sumber kewangan utama diperoleh melalui sumbangan serta derma penganut agama Hindu.

Hasil siasatan juga mendapati pendaftaran kuil itu telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) pada Oktober 2024, selain dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran sah.

“Keadaan tidak berdaftar itu menyebabkan ketiadaan pemantauan pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaan, sekali gus membuka ruang kepada penyelewengan dana awam.

“Perbuatan tersebut dipercayai menjejaskan operasi serta kebajikan kuil, termasuk aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi berkenaan,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dijangka akan dituduh dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button