
Guna berus bulu babi: JAIM tarik serta-merta sijil halal, kilang kopi dan biskut
MELAKA – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menarik balik secara serta merta sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di negeri ini selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.
Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat, berkata, perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lalu, yang menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.
Beliau berkata, berus berkenaan disita sebelum dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai untuk pengesahan lanjut.
Katanya, keputusan analisis yang diterima pada Mac mengesahkan berus itu mempunyai ciri fizikal bulu babi.
“Susulan itu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik kilang berkenaan ditarik serta-merta.
“Kilang itu telah beroperasi lebih sedekad dan sebelum ini memiliki sijil halal yang sah dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), ” katanya memetik laporan BH Online .
Mengulas lanjut, beliau berkata, alasan ketidaktahuan yang diberikan pihak premis tidak boleh dijadikan justifikasi.
Katanya, pemegang sijil halal perlu sentiasa memastikan pematuhan penuh terhadap piawaian halal yang ditetapkan, tanpa kompromi dalam mana-mana aspek operasi.
“JAIM akan terus memperhebat pemantauan terhadap premis yang memiliki sijil halal bagi menjamin keyakinan pengguna terhadap status halal produk di pasaran,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















