WHO hargai peranan Malaysia perkukuh kerjasama kesihatan global
PUTRAJAYA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menzahirkan penghargaan kepada Malaysia susulan penglibatan aktif negara ini dalam isu kesihatan antarabangsa, serta peranan konstruktif memperkukuh kerjasama global berteraskan solidariti.
Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), perkara itu dinyatakan oleh Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa lawatan rasmi ke Malaysia, sekali gus mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dengan badan dunia itu dalam memperkukuh daya tahan sistem kesihatan.
Jelas KKM, kunjungan itu juga membawa kesan positif langsung kepada rakyat Malaysia dari segi pencegahan, kesiapsiagaan dan respons kesihatan awam, khususnya melalui rundingan Akses Patogen dan Perkongsian Manfaat bawah Kumpulan Kerja Antara Kerajaan.
“Kerjasama antara Malaysia dengan WHO turut memperkukuh kesiapsiagaan negara dan sistem amaran awal terhadap ancaman penyakit berjangkit menerusi rundingan pindaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa serta Perjanjian Pandemik.
“Usaha ini memastikan Malaysia lebih pantas mengesan dan bertindak balas terhadap sebarang krisis kesihatan masa hadapan, sekali gus meminimumkan gangguan kepada aktiviti ekonomi dan kelangsungan sosial rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, menegaskan penglibatan aktif Malaysia pada peringkat WHO adalah bagi memastikan suara rakyat negara ini terus diberi perhatian dalam landskap kesihatan global.
Menurut beliau, Malaysia kekal komited untuk terus bekerjasama dengan WHO bagi memastikan sistem kesihatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi, inklusif dan bersedia mendepani sebarang cabaran kesihatan global demi kesejahteraan rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








