Anggota MALBATT diarah henti operasi susulan situasi keselamatan di Lubnan
KUALA LUMPUR – Anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 diarah menghentikan pergerakan operasi buat sementara waktu susulan situasi keselamatan di selatan Lubnan yang semakin meruncing.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu juga adalah selaras dengan arahan Markas Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL).
“Tahap keselamatan turut dipertingkat kepada semua kontinjen di kawasan misi berdasarkan situasi semasa di Selatan Lubnan. Langkah ini merangkumi pematuhan berterusan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan pengukuhan pelaksanaan Rules of Engagement (ROE).
“Selain itu, pemberhentian sementara pergerakan rondaan, peningkatan langkah Force Protection serta penilaian situasi secara berterusan bagi memastikan keselamatan anggota MALBATT 850-13 sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pada masa ini semua anggota MALBATT 850-13 disahkan selamat.
“Keselamatan anggota MALBATT kekal menjadi keutamaan utama kerajaan. Segala penugasan dan pergerakan dilaksanakan secara berhati-hati berdasarkan penilaian situasi semasa serta arahan operasi UNIFIL,” katanya.
Terdahulu, Mohamed Khaled berkata Kementerian Pertahanan memandang serius perkembangan terkini keselamatan di Selatan Lubnan susulan dua insiden berasingan dalam tempoh 24 jam yang turut mengorbankan tiga anggota pasukan pengaman UNIFIL dari Indonesia (INDOBATT).
“Insiden itu telah mengorbankan anggota pengaman serta menyebabkan kecederaan serius kepada beberapa yang lain.
“Malaysia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pasukan pengaman adalah pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















