
Smartee tembusi pasaran Malaysia, sasar lonjak standard pergigian
KUALA LUMPUR – Syarikat teknologi pergigian berpangkalan di Shanghai, Smartee Denti-Technology Ltd mengumumkan kemasukan ke pasaran Malaysia didorong perkembangan industri pergigian tempatan yang kini semakin pesat.
Pengarah Perniagaan Antarabangsa dan Pembangunan Perniagaan Smartee, Garie Zhou berkata, pelebaran perniagaan yang mensasarkan jalinan kerjasama jangka panjang dengan pengamal pergigian tempatan khususnya melalui penggunaan teknologi digital serta permintaan terhadap rawatan estetik.
Menurutnya, Smartee komited membantu meningkatkan standard kesihatan pergigian di Malaysia yang disifatkan sebagai pasaran dinamik dan berkembang pantas.
“Pasaran pergigian tempatan kini tidak lagi tertumpu kepada rawatan asas semata-mata, sebaliknya beralih kepada pendekatan lebih menyeluruh melibatkan penjagaan pencegahan, prosedur kosmetik serta penggunaan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.
Perkembangan itu disokong oleh kesedaran yang semakin tinggi terhadap kepentingan kesihatan mulut dalam kalangan masyarakat dan peningkatan taraf hidup.
Dalam masa sama katanya, Malaysia turut mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan pergigian serantau dengan potensi menarik pesakit dari negara jiran yang mencari rawatan berkualiti pada harga kompetitif, sekali gus meningkatkan persaingan dalam kalangan penyedia perkhidmatan pergigian swasta.
“Dalam landskap tersebut, segmen penjajaran gigi lutsinar (clear aligner) muncul sebagai antara bidang yang paling pesat berkembang.
“Walaupun sebelum ini didominasi pemain global, kini semakin banyak syarikat baharu memasuki pasaran dengan menawarkan penyelesaian klinikal yang lebih inovatif, kos berpatutan serta aliran kerja digital yang lebih efisien,” katanya.

Sementara itu, Smartee memaklumkan, segmen berkenaan turut berkembang dengan pantas di negara ini atas permintaan dalam segmen estetika pergigian.
“Permintaan terhadap rawatan ortodontik tanpa wayar yang lebih tersorok juga dilihat meningkat khususnya di kawasan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru, apabila pesakit semakin cenderung memilih alternatif ‘invisible braces’ berbanding pendakap gigi konvensional,” katanya.
Sehubungan itu, Smartee optimis dalam perkongsian teknologi dengan pemain tempatan melalui pengalaman dan kepakaran klinikal yang dimiliki dalam menghadapi persaingan pasaran.
Kemasukan syarikat itu turut mencerminkan komitmen jangka panjang di negara ini, dengan sokongan rangkaian global melebihi 99,000 doktor rakan kongsi di 57 negara serta empat pangkalan pengeluaran termasuk di China dan Sepanyol.
Sebagai langkah awal, Smartee baru-baru ini menganjurkan persidangan klinikal di Kuala Lumpur yang menghimpunkan lebih 70 profesional pergigian termasuk pakar ortodontik, pengamal am dan ahli akademik.
Program tersebut menekankan strategi syarikat untuk memimpin pasaran melalui kepakaran klinikal dalam usaha memperluas kehadirannya di negara ini.

| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








