PETRA, NAHRIM pacu inovasi saintifik perkukuh sekuriti air negara
PUTRAJAYA – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus mempergiat usaha memperkukuh sekuriti air negara menerusi pendekatan berasaskan sains dan inovasi, selaras Agenda Transformasi Sektor Air 2040 (AIR2040) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penggunaan teknologi serta penyelidikan saintifik menjadi teras penting bagi memastikan pengurusan sumber air negara lebih mampan dan berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi cabaran perubahan iklim serta peningkatan permintaan.
Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah penubuhan Pasukan Forensik Banjir Malaysia (FORBiM) melalui Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia bagi menjalankan siasatan berasaskan data dan bukti saintifik terhadap punca kejadian banjir.
“Sebagai permulaan, pasukan FORBiM Kuala Lumpur sedang melaksanakan analisis forensik bagi mengenal pasti punca sebenar banjir serta menilai keupayaan infrastruktur sedia ada.
“Pendekatan ini membolehkan strategi tebatan banjir dirangka secara lebih inovatif termasuk aspek pemantauan dan penyelenggaraan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, pengurusan banjir turut diperkukuh melalui penggunaan teknologi simpanan air lebihan seperti takungan dasar sungai, pendekatan berasaskan alam semula jadi serta kolam takungan pelbagai fungsi.
“Beberapa produk tempatan turut dibangunkan bagi mengurangkan impak banjir kepada komuniti termasuk sistem tembok penahan banjir automatik dan dinding tebatan mudah alih,” katanya lagi.
Dalam memastikan bekalan air jangka panjang, PETRA bersama NAHRIM turut meneroka sumber alternatif seperti pemetaan air bawah tanah, menaik taraf kolam takungan serta pembangunan teknologi penyahgaraman air laut, khususnya untuk kegunaan kawasan pulau dan pedalaman.
“Penyelidikan turut dilaksanakan melalui projek di lembangan Sungai Melaka dan Pulau Langkawi yang menggabungkan aspek bekalan air, tebatan banjir dan ekopelancongan sebagai model pengurusan bersepadu,” katanya lagi.
Tambah beliau, NAHRIM juga memperkukuh pemantauan kualiti air melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan data raya bagi membolehkan pengesanan pencemaran dilakukan secara masa nyata.
“Sistem penarafan sungai berasaskan AI yang dibangunkan tempatan membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil lebih pantas sebelum pencemaran menjadi kritikal,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, PETRA turut mewujudkan Hab Air Kebangsaan bagi mengintegrasikan penyelidikan, inovasi dan pembangunan sumber air ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab air serantau menjelang 2040.
“Komitmen bersama PETRA dan NAHRIM ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam memastikan pengurusan sumber air negara lebih cekap, selamat dan berdaya tahan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















