Serangan berterusan Iran paksa tentera AS berundur dari pangkalan Asia Barat
TEHRAN – Serangan udara berterusan oleh Iran dilaporkan memaksa tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari beberapa pangkalan utama di Asia Barat, sekali gus menjejaskan operasi ketenteraan di rantau itu.
Menurut laporan The Telegraph, sebahagian anggota tentera AS kini terpaksa beroperasi dari hotel dan ruang pejabat berhampiran, keadaan yang disifatkan berisiko tinggi terhadap keselamatan anggota dan orang awam.
Analisis serangan berdasarkan geolokasi oleh penganalisis sumber terbuka, Fabian Hinz menunjukkan beberapa pangkalan AS dan sekutu di rantau itu menjadi sasaran serangan berulang.
Sementara itu, sebuah firma satelit AS dilapor menangguhkan pengeluaran imejan sehingga 14 hari, menyukarkan penilaian tahap kerosakan sebenar di lokasi terlibat.

Laporan The New York Times pula menyebut, sekurang-kurangnya 13 pangkalan AS di Kuwait, Bahrain, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu kini hampir tidak boleh didiami akibat serangan berterusan.
Antara yang paling terjejas ialah Ali Al Salem Air Base di Kuwait yang dilaporkan menerima sehingga 23 serangan, diikuti Kem Arifjan dan Kem Buehring dengan masing-masing 17 dan enam serangan.
Imej satelit dari pangkalan-pangkalan ini menunjukkan kerosakan ketara melibatkan hangar, sistem komunikasi, peralatan satelit serta stor bahan api.
Menurut analisis sama, Iran turut melancarkan serangan ke atas pangkalan di Emiriah Arab Bersatu (17 kali), Bahrain (16 kali), Iraq (tujuh kali), Qatar (enam kali), Arab Saudi (enam kali) dan Jordan (dua kali).
Kajian oleh Center for Strategic and International Studies menganggarkan serangan pada hari pertama konflik sahaja menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya AS$800 juta (RM3.14 bilion) termasuk kemungkinan terkena sistem radar THAAD milik AS di Jordan.
Di Arab Saudi, imej satelit di Prince Sultan Air Base menunjukkan kemusnahan hangar apabila bumbungnya runtuh.
Di Qatar pula, Al Udeid Air Base yang merupakan pangkalan terbesar AS di Asia Barat dilaporkan mengalami kerosakan pada antena dan sistem satelit.
Manakala di Emiriah Arab Bersatu, serangan ke atas Al Dhafra Air Base mengakibatkan kerosakan struktur bangunan yang dipercayai digunakan untuk menempatkan anggota tentera.
Sumber Iran mendakwa serangan tersebut menggunakan peluru berpandu canggih Khorramshahr-4, antara aset utama dalam persenjataan negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








