PGA tahan tiga warga Thailand seludup petrol, diesel
KANGAR – Tiga lelaki warga Thailand ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas disyaki menyeludup petrol dan diesel menggunakan tangki kenderaan yang diubah suai di Jalan Kangar-Padang Besar, berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Jumaat lalu.
Komander Briged Utara PGA, Balveer Singh Mahindar Singh berkata, suspek berusia antara 22 hingga 45 tahun itu ditahan dalam Op Taring Bravo 1 selepas tiga kenderaan jenis pikap yang dinaiki mereka didapati dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui sejumlah cecair disyaki petrol dan diesel disimpan dalam tangki yang telah diubah suai pada setiap kenderaan.
“Modus operandi digunakan adalah dengan mengubah suai tangki kenderaan bagi menyimpan bahan api dalam kuantiti lebih banyak sebelum diseludup ke Thailand,” memetik BH online.
Beliau berkata, sebanyak 410 liter petrol dan diesel dirampas dengan nilai dianggarkan RM2,015.70, manakala keseluruhan nilai rampasan termasuk kenderaan berjumlah RM217,015.70.
Katanya, siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek dipercayai aktif menjalankan kegiatan penyeludupan bahan api ke negara jiran.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Seksyen 8(4)(a) akta sama.
Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perlis turut mengeluarkan saman terhadap suspek atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Utara PGA dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








