BERITA SEMASAPMX

Pezeshkian hargai pendirian tegas Malaysia, Anwar kecam serangan ke atas Iran

KUALA LUMPUR – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian merakamkan penghargaan terhadap pendirian tegas Malaysia dalam mengecam serangan ke atas negaranya, susulan konflik yang semakin meruncing di Asia Barat.

Dalam mesej yang disampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pezeshkian menzahirkan terima kasih atas sokongan Malaysia terhadap negara berkenaan.

“Pertama sekali, saya ingin merakamkan penghargaan atas kenyataan dan pendirian tuan yang sangat tegas serta usaha tuan dalam mengecam serangan yang tidak berperikemanusiaan, menyalahi undang-undang, menindas dan keji yang dilakukan oleh rejim Zionis dan Amerika Syarikat terhadap negara kami,” kata Pezeshkian menerusi hantaran yang dimuat naik Perdana Menteri di media sosial.

Sementara itu, Anwar memaklumkan, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Iran itu bagi mendapatkan perkembangan terkini berhubung situasi konflik di rantau berkenaan.

Menurut beliau, Malaysia merakamkan takziah mendalam kepada rakyat Iran atas kehilangan besar melibatkan kepimpinan tertinggi negara termasuk tokoh politik, ketenteraan dan keselamatan, di samping korban nyawa orang awam termasuk kanak-kanak.

“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang didukung Amerika Syarikat ke atas Iran, serta mengutuk sebarang tindakan yang menyasarkan orang awam kerana ia melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyatakan keprihatinan terhadap negara-negara sahabat di Teluk yang terkesan akibat konflik tersebut.

Anwar berkata, Malaysia mengambil maklum kesediaan Iran untuk berunding, namun menegaskan bahawa sebarang usaha damai perlu disertai jaminan kukuh bagi mengelakkan kitaran keganasan berulang seperti yang berlaku di Gaza dan Lebanon.

“Usaha damai mesti berteraskan keadilan, akauntabiliti dan komitmen berpanjangan demi memastikan keamanan sejati dapat dicapai,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Malaysia komited untuk terus memperkukuh solidariti dengan Iran serta percaya penyelesaian menyeluruh amat penting bagi menjamin keselamatan semua pihak dan memulihkan maruah kemanusiaan di Asia Barat.

Anwar dalam masa sama mengajak semua pihak untuk mendoakan agar konflik tersebut dapat diselesaikan dengan segera melalui jalan damai.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button