BERITA SEMASAPMX

Subsidi RON95 kekal RM1.99 seliter, kuota BUDI95 diselaras kepada 200 liter sebulan

PUTRAJAYA – Kerajaan mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter di bawah inisiatif BUDI95 dan menyelaras had kuota subsidi berkenaan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini sebagai langkah penyesuaian berikutan ketidaktentuan ekonomi global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat susulan konflik berpanjangan di Asia Barat yang terus memberi tekanan kepada bekalan dan harga minyak dunia.

Menurut beliau, walaupun inisiatif BUDI95 terbukti banyak membantu rakyat, kerajaan perlu melakukan penyelarasan terhadap kelayakan bagi memastikan subsidi disalurkan secara lebih bersasar.

“Kita dapati purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, manakala hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, jadi majoriti tidak akan terjejas dengan penetapan baharu ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan hari ini.

Jelasnya, kuota subsidi sebelum ini sebanyak 300 liter diselaraskan kepada 200 liter bermula 1 April, selepas mengambil kira corak penggunaan semasa rakyat.

Beliau turut menegaskan bahawa langkah tersebut dilaksanakan secara berhati-hati dan bersifat sementara sehingga keadaan ekonomi global serta bekalan minyak kembali stabil.

“Ketika ini belum ada tanda-tanda pemulihan, namun kerajaan komited untuk terus mengurangkan beban rakyat dengan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter,” katanya.

Tambah beliau, pemandu e-hailing pula kekal menikmati had siling 800 liter sebulan kerana memahami keperluan golongan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button