POLITIK

MIC kekal bersama BN: Lambang kesetiaan, kematangan politik – Zambry

KUALA LUMPUR – Keputusan parti Kongres India Malaysia (MIC) untuk terus kekal dalam Barisan Nasional (BN) disifatkan sebagai manifestasi kesetiaan dan kematangan politik.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC dalam mesyuarat semalam adalah jelas, tegas dan berpandangan jauh demi memastikan kesinambungan perjuangan gabungan berkenaan.

Menurut beliau, pendirian tersebut bukan sekadar keputusan politik semasa, sebaliknya mencerminkan akar sejarah serta semangat perjuangan yang telah terbina sejak era Perikatan (1955–1973) sebelum diperkukuh melalui BN sejak 1974 hingga kini.

“Sepanjang tempoh itu, BN telah melalui pelbagai cabaran termasuk isu perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap nasional, namun tetap bertahan kerana berteraskan kepercayaan, kesetiaan serta tanggungjawab bersama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zambry menjelaskan, keputusan MIC itu turut didasari beberapa faktor utama, antaranya keperluan terhadap kestabilan dan kesinambungan dalam situasi politik yang semakin tidak menentu.

Katanya, BN telah membuktikan keupayaannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, sekali gus menjadikannya masih relevan sebagai platform politik.

Selain itu, beliau menegaskan kekuatan muafakat pelbagai kaum dalam BN merupakan model kerjasama yang telah teruji dan penting dalam memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terus terpelihara.

“BN juga menunjukkan keupayaan untuk memperbaharui diri melalui proses penstrukturan semula serta pendekatan yang lebih responsif terhadap kehendak rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keputusan tersebut turut menjadi isyarat jelas menolak politik perpecahan, sebaliknya menegaskan kepentingan prinsip kebersamaan dan solidariti dalam landskap politik negara.

Tambah beliau, usaha memperkemaskan BN akan terus dipergiatkan dan sebarang cubaan untuk melemahkan gabungan itu mampu ditangani sekiranya semangat kesatuan terus dipertahankan dengan jujur dan ikhlas.

“Keputusan ini bukan hanya untuk hari ini, tetapi demi masa depan, bahawa politik berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab masih relevan dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button