BERITA SEMASALUAR NEGARA

Tangki bahan api Lapangan Terbang Kuwait terbakar didakwa akibat serangan dron

KUWAIT – Sebuah tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait dilaporkan terbakar selepas dipercayai terkena serangan dron, hari ini.

Direktorat Jeneral Penerbangan Awam dalam kenyataan yang dimuat naik secara dalam talian memaklumkan serangan yang menyasarkan kemudahan strategik negara Teluk itu hanya menyebabkan kerosakan yang terhad dan tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

“Pihak berkuasa berkaitan segera melaksanakan prosedur kecemasan yang sudah ditetapkan,” kata jurucakap agensi berkenaan, Abdullah Al-Rajhi, sambil menambah pasukan bomba sudah dikerahkan bagi mengawal kebakaran.

Lapangan terbang Kuwait beberapa kali menjadi sasaran serangan sejak perang serantau tercetus pada 28 Februari, apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iran.

Pada 14 Mac lalu, pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan satu serangan menggunakan beberapa dron menyasarkan lapangan terbang berkenaan dan terkena sistem radarnya. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Pada 8 Mac, dron turut dilaporkan menyerang tangki bahan api di lapangan terbang berkenaan, manakala satu serangan lebih awal yang menyasarkan terminal penumpang menyebabkan beberapa individu cedera ringan serta mengakibatkan kerosakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button