BERITA SEMASA

Mangsa kebakaran paip gas Putra Heights pilih sambut raya di tapak rumah lama

SUBANG JAYA – Seorang warga emas memilih untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di tapak rumah lamanya yang musnah dalam tragedi letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April tahun lalu.

Mohamad Nasir Abd Hamid, 70, berkata, keputusan itu dibuat kerana dia masih menetap di kawasan berkenaan sejak kejadian yang memusnahkan kediamannya di Kampung Kuala Sungai Baru.

Menurut bekas kontraktor itu, selepas tragedi berkenaan, dia bersama isteri, Alyah Adi Ismail, 55, dan anak-anak mereka tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) selama tiga minggu sebelum berpindah ke rumah sewa berhampiran.

Gambar fail menunjukkan keadaan rumah di Kampung Kuala Sungai Baru yang musnah akibat kebakaran disebabkan letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025.

Bagaimanapun, keadaan rumah sewa yang sempit mendorongnya kembali ke tapak rumah asal yang didiaminya lebih 30 tahun lalu.

Katanya, sejak Mei tahun lalu, dia tinggal di kawasan itu yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi letupan dengan mendirikan khemah sebagai tempat berteduh.

“Saya bersihkan kawasan ini dan pasang khemah lengkap dengan katil, kelambu serta kipas.

“Tandas juga dibaiki untuk kegunaan harian,” katanya memetik laporan Metro Online.

Menurutnya, keputusan untuk tinggal di situ difahami oleh ahli keluarga, malah mereka bersetuju menyambut Aidilfitri di tapak berkenaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan pembinaan rumah baharu di sebelah tapak lama kini sedang dijalankan oleh kontraktor dilantik Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sejak dua bulan lalu.

Jelasnya, pada peringkat awal, rumahnya dikategorikan untuk dibaik pulih, namun kerosakan yang terlalu teruk menyebabkan pembinaan semula lebih sesuai dilakukan.

Rumah baharu itu dijangka siap selepas Syawal.

Dalam pada itu, Mohamad Nasir berkata, dia reda dengan ketentuan yang berlaku walaupun tragedi tersebut memberi kesan besar kepada kehidupannya sekeluarga.

“Apa yang berlaku ini memang memberi kesan jangka panjang kerana banyak yang kami hilang. Namun saya anggap ini sebagai takdir dan mungkin ada yang lebih teruk nasibnya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button