Ranking jatuh: KBS kecewa, gesa reformasi menyeluruh bola sepak negara
KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari melahirkan rasa kecewa terhadap kemerosotan ranking skuad Harimau Malaya, sambil menggesa agar langkah-langkah wajar segera diambil serta reformasi menyeluruh dilaksanakan demi memulihkan prestasi bola sepak negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Mohammed Taufiq berkata, pihaknya mengambil maklum kedudukan terbaharu ranking yang dikeluarkan FIFA, yang menyaksikan skuad bola sepak kebangsaan merosot 14 anak tangga daripada kedudukan ke-121 kepada tempat ke-135.
Beliau berkata, perkembangan tersebut susulan keputusan AFC membatalkan dua kemenangan Harimau Malaya dalam Kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Vietnam dan Nepal, berikutan isu pemain warisan yang dihadapi skuad kebangsaan.
“Kekecewaan itu turut dirasai seluruh rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan susulan penurunan ranking berkenaan serta kontroversi yang melanda pasukan kebangsaan sejak beberapa bulan lalu,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi berkenaan dan usaha memperkasa bola sepak tanah air harus terus dipergiatkan.
“Saya berharap langkah-langkah wajar akan diambil agar perkara seumpama ini tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya.
Beliau menambah, pembangunan bola sepak terutama di peringkat akar umbi perlu diteruskan, selain menggesa seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan kepada sukan tersebut.
Dalam pada itu, beliau menegaskan KBS kekal dengan pendirian untuk tidak campur tangan dalam pengurusan FAM.
Katanya, KBS melalui Majlis Sukan Negara akan terus mengutamakan usaha memperkasa serta membangunkan bakat bola sepak tempatan menerusi Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) bersama FAM selaku rakan strategik.
“KBS akan terus mengadakan sesi libat urus berkala dengan FAM bagi mendapatkan maklum balas berhubung strategi mengelakkan kejatuhan ranking yang lebih lanjut, khususnya selepas perubahan dalam sistem ranking FIFA yang kini dikemas kini secara langsung dengan setiap perlawanan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak memberi ruang kepada FAM, dengan bantuan AFC, untuk mengenal pasti serta melaksanakan reformasi dalaman yang perlu, termasuk mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinan baharu.
“KBS tidak terlibat dalam proses ini dan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau kepatuhan pengurusan FAM terhadap peruntukan perlembagaannya serta peruntukan dalam Akta Pembangunan Sukan (Akta 576),” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














