Pengguna Apple iPhone digesa kemas kini iOS segera, elak risiko keselamatan
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa pengguna peranti Apple supaya segera mengemas kini sistem operasi iOS susulan penemuan beberapa kelemahan keselamatan yang berpotensi dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
MCMC memaklumkan kemas kini keselamatan penting telah dikeluarkan oleh Apple bagi menangani kelemahan termasuk rantaian eksploit dikenali sebagai “DarkSword” yang menjejaskan peranti iOS, khususnya iPhone.
Menurutnya, kelemahan berkenaan boleh dimanipulasi secara serentak untuk menjejaskan peranti, sekali gus membuka ruang kepada akses tanpa kebenaran serta pelbagai aktiviti berniat jahat.
“Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya mengemas kini peranti mereka kepada versi iOS terkini bagi memastikan ia kekal dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah MCMC, peranti yang tidak dikemas kini berisiko terdedah kepada pelbagai ancaman keselamatan termasuk kecurian data peribadi, pemasangan perisian hasad atau pengintip, serta kemungkinan pemantauan tanpa pengetahuan pengguna.
Selain itu, pengguna turut disaran mengaktifkan kemas kini automatik, mengelakkan melayari laman web mencurigakan, hanya memuat turun aplikasi daripada App Store rasmi, serta memulakan semula peranti selepas proses kemas kini selesai.
MCMC turut menekankan kepentingan amalan digital selamat dalam kalangan pengguna serta mengingatkan orang ramai supaya sentiasa merujuk maklumat daripada sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan.
Langkah proaktif itu dilihat penting dalam memastikan keselamatan data dan privasi pengguna terus terpelihara, terutama dalam era peningkatan ancaman siber ketika ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








