PDRM guna saluran G2G siasat laporan Bloomberg didakwa fitnah Azam Baki
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan saluran kerajaan-ke-kerajaan (G2G) serta kerjasama antara agensi bagi meneruskan siasatan terhadap laporan diterbitkan Bloomberg yang didakwa mengandungi unsur fitnah terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata langkah itu diambil susulan individu yang dikaitkan dengan penerbitan laporan berkenaan dipercayai berada di luar negara.
Menurutnya, pihak polis sebelum ini telah ke pejabat Bloomberg di Menara Petronas dan bertemu beberapa kakitangan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Kita dimaklumkan mereka yang berkaitan ada yang berada di luar negara, jadi kita akan gunakan saluran G2G untuk mendapatkan kerjasama lanjut,” katanya memetik laporan Kosmo! Online pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan dakwaan bahawa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham bernilai kira-kira RM800,000 itu dibuat secara telus serta mematuhi prosedur ditetapkan.
Beliau juga dilaporkan telah mengemukakan surat tuntutan terhadap Bloomberg melalui firma guaman Zain Megat & Murad berhubung laporan yang mendakwa beliau memiliki jutaan saham dalam syarikat berkenaan.
Menurut kenyataan media sebelum ini, laporan, cadangan serta sindiran dalam penerbitan tersebut disifatkan sebagai fitnah, tidak bertanggungjawab dan mengelirukan, selain didakwa menjejaskan maruah, kredibiliti serta integriti institusi Ketua Pesuruhjaya SPRM.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







