Tayar bocor tertusuk paku, bas ekspres ke Kuantan diarah henti operasi
SEBERANG PERAI – Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan ke Kuantan, Pahang diarah menghentikan operasi selepas pemeriksaan mendapati salah satu tayarnya tertusuk paku bersaiz besar, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan kepada penumpang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail berkata, bas tersebut ditahan ketika menuju ke terminal bas Penang Sentral, malam tadi.
Menurutnya, pemandu diarahkan menukar tayar terlebih dahulu sebelum dibenarkan meneruskan perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Kami menjalankan pemeriksaan ini bagi memastikan pemandu sentiasa peka terhadap keadaan kenderaan masing-masing, manakala penumpang pula perlu memastikan keselamatan diri termasuk memakai tali pinggang keledar.
“Selain itu, JPJ turut menempatkan anggota penguat kuasa di dalam bas tertentu bagi memantau tahap pematuhan serta mengambil tindakan terhadap pemandu yang melanggar peraturan,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) dan program Advokasi Keselamatan Jalan Raya JPJ Pulau Pinang di terminal bas Penang Sentral, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata tahap pematuhan dalam kalangan pengusaha dan pemandu bas adalah memuaskan sejak operasi bermula pada 13 Mac lalu, termasuk tiada kesalahan dikesan menerusi operasi penyamaran.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak khususnya pemandu dan penumpang agar terus mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan sepanjang musim perayaan.
Sementara itu, Zairil berkata operasi bersepadu berkenaan turut melibatkan agensi lain seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
“Keutamaan kita adalah untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya termasuk kemalangan maut, dengan sasaran pengurangan sebanyak 10 peratus tahun ini,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








