YSIJ agih 7,000 bantuan Ramadan, 1,000 keluarga di Kota Tinggi terima manfaat
KOTA TINGGI – Seramai 1,000 keluarga di daerah ini menerima bantuan sempena Ramadan hasil agihan berterusan yang dilaksanakan oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) sejak pertengahan bulan ini.
Program kebajikan itu melibatkan pengagihan sebanyak 3,000 bakul makanan dan 4,000 set manisan kepada golongan memerlukan di seluruh negeri Johor sepanjang Ramadan.
Penyerahan bantuan dilaksanakan secara berperingkat bermula 13 Mac lalu dan berakhir kelmarin dengan majlis kemuncak diadakan di Dewan Semerah Padi, Kampung Lukut, di sini, membabitkan penerima dari kawasan Johor Lama dan Panti.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Miswan Yunus bersama Pengurus Pemegang Amanah YSIJ, Avinderjit Singh.

Miswan berkata, pihaknya mewakili penduduk daerah itu amat menghargai keprihatinan YSIJ yang sentiasa mendekati masyarakat, khususnya dalam membantu golongan memerlukan.
“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, malah menceriakan 1,000 keluarga dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya memetik hantaran di Facebook Sultan Ibrahim.
Sementara itu, seorang penerima warga emas, Samariah Mohd Arif, 76, meluahkan rasa syukur atas bantuan diterima.
Menurutnya, sumbangan berkenaan amat bermakna memandangkan keadaan dirinya yang berdepan masalah katarak mata serius.
“Terima kasih kepada YSIJ atas keprihatinan ini. Bantuan ini sangat membantu kami membuat persiapan raya,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








