Tiada PdPR, sesi sekolah berlangsung seperti biasa – KPPM
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini memaklumkan tiada sebarang pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) buat masa ini.
Menurut Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad, sesi persekolahan buat masa ini akan berlangsung seperti biasa.
“KPM ingin memaklumkan bahawa, pada masa ini, sesi persekolahan berjalan seperti biasa. Tiada sebarang ketetapan dibuat berkaitan pelaksanaan PdPR,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, keutamaan KPM adalah memastikan pembelajaran murid tidak terjejas, selain memelihara kebajikan dan kesejahteraan semua pihak.
Mohd Azam dalam kenyataan sama turut menyatakan, KPM prihatin terhadap semua kegusaran yang dibangkitkan masyarakat berhubung berita yang tular mengenai kemungkinan pelaksanaan PdPR.
Laporan media sebelum ini menyebut, KPM akan mengadakan perbincangan khusus bagi memperhalusi mekanisme Bekerja Dari Rumah (BDR) termasuk PdPR dalam kalangan pelajar sekolah serta penjawat awam kementerian itu, sekiranya dasar berkenaan diputuskan untuk dilaksanakan kerajaan.
Pada Khamis lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, pelaksanaan pengaturan kerja fleksibel termasuk BDR dilihat antara langkah penting bagi memastikan kesinambungan operasi kerajaan dalam menghadapi dunia yang semakin tidak menentu akibat konflik geopolitik, bencana atau krisis kesihatan awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







