BERITA SEMASA

KESUMA galak majikan beri kelonggaran cuti tambahan Aidilfitri

PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia Malaysia (KESUMA) menggalakkan majikan memberi kelonggaran kepada pekerja berhubung pelaksanaan cuti tambahan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KESUMA berkata, cuti tambahan itu selaras dengan peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.

Menurut kementerian itu, cuti yang diisytiharkan berkenaan terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada Seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].

“Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

KESUMA memaklumkan majikan perlu memaklumkan kepada pekerja berhubung pengaturan cuti tambahan berkenaan sama ada diberikan pada tarikh yang diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.

Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, mereka layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am seperti diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Sehubungan itu, KESUMA menyeru majikan mempertimbangkan pemberian cuti tersebut sebagai sebahagian daripada amalan pekerjaan yang prihatin serta menyokong keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan.

“Langkah ini diharap dapat memberi ruang kepada pekerja untuk meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, kesejahteraan dan keharmonian bersama keluarga,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan bersetuju memberikan satu hari cuti tambahan sempena Aidilfitri tahun ini sebagai penghargaan kepada rakyat yang bekerja keras sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, tarikh cuti tambahan itu tertakluk kepada pengisytiharan 1 Syawal, iaitu sekiranya Aidilfitri disambut pada Jumaat, 20 Mac, maka Isnin, 23 Mac akan dijadikan cuti tambahan.

Sebaliknya, jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu, 21 Mac, maka cuti tambahan akan diberikan pada hari Jumaat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button