SPRM beku akaun hampir RM4 juta dalam siasatan penyelewengan tanah
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun bank dan unit amanah bernilai hampir RM4 juta bagi membantu siasatan kes penyelewengan tanah yang dikaitkan dengan seorang pengarah syarikat.
Menurut sumber, siasatan yang dijalankan oleh SPRM Selangor sejak 9 Mac lalu menyaksikan empat akaun syarikat serta akaun perbankan milik empat individu dibekukan bagi tujuan siasatan lanjut.
Daripada jumlah itu, dua akaun unit amanah dianggarkan bernilai kira-kira RM2.6 juta, manakala beberapa akaun simpanan syarikat dan individu lain membabitkan kira-kira RM1 juta.
“Pada masa sama, siasatan SPRM kini menjurus kepada dakwaan salah guna kuasa dan penipuan,” menurut sumber.
Semalam, seorang pengarah syarikat yang juga pemegang amanah bagi sebidang tanah seluas kira-kira lapan ekar di sebuah ladang di Hulu Selangor ditahan reman selama lima hari sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan.
Setakat ini, seramai 24 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan, manakala SPRM turut mengesan beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai maklumat berkaitan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Mohd Azwan Ramli ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








