BERITA SEMASA

Kerajaan jangka peroleh semula RM5 bilion dana 1MDB

KUALA LUMPUR – Kerajaan dijangka memperoleh semula kira-kira RM5 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada beberapa individu yang dikenal pasti terbabit dalam penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik itu, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi, Tarek Obaid dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, usaha pemulihan dana berkenaan sedang giat dijalankan menerusi rundingan dengan beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK).

Menurutnya, antara dana yang sedang diusahakan ketika ini ialah kira-kira RM600 juta daripada Tarek, manakala beberapa akaun milik ahli keluarga Jho Low dijangka dipulangkan kepada kerajaan dalam masa terdekat.

“Kita menjangkakan dapat memperoleh sekitar RM5 bilion lagi melalui beberapa tindakan yang sedang diambil, termasuk rundingan penyelesaian dengan individu yang terbabit dalam kes 1MDB.

“Sebagai contoh, kita sedang berunding dengan Tarek dan berharap dapat memulihkan kira-kira RM600 juta daripada jumlah itu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Azam berkata, daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1MDB yang dikenal pasti telah diseleweng, sebanyak RM31.19 bilion berjaya dipulihkan setakat ini menerusi pemulangan aset serta dana dari dalam dan luar negara.

“Ini bermakna masih terdapat baki kira-kira RM12 bilion yang sedang diusahakan.

“Kita menjangkakan sekitar RM5 bilion daripada jumlah itu dapat diperoleh semula dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Beliau berkata, walaupun tiada garis masa khusus ditetapkan, SPRM bertekad mempercepatkan proses pemulihan dana berkenaan demi kepentingan negara.

“Saya mahukan perkara ini diselesaikan segera tanpa sebarang penangguhan. Beberapa tindakan sedang dilaksanakan dan kita berharap sebahagian dana dapat dibawa pulang dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Tarek Obaid yang juga pengasas bersama serta bekas Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd sebelum ini dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland pada Ogos 2024 atas kesalahan penyelewengan dana berkaitan 1MDB.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap Tarek dan dua syarikat lain daripada mengakses 41 barang kemas bernilai £9 juta yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.

Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim K. Muniandy selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button