BERITA SEMASA

Cadangan BDR penjawat awam diputuskan Selasa depan

PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka membuat keputusan berhubung cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) bagi sektor awam dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dijadualkan berlangsung Selasa depan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti cadangan berkenaan terlebih dahulu sebelum ia dibentangkan kepada Kabinet.

Menurutnya, penelitian itu bertujuan memastikan beberapa aspek berkaitan pelaksanaan bekerja dari rumah dapat diselaraskan dengan baik dalam sektor perkhidmatan awam.

“Perdana Menteri sudah meminta supaya Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam meneliti cadangan bekerja dari rumah atau work from home untuk memastikan beberapa perkara terselaras.

“Hasil daripada perbincangan itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat. Insya-Allah, pada Selasa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet Khas yang membincangkan isu ekonomi susulan konflik di Asia Barat melibatkan Israel, Amerika Syarikat dan Iran.

Sidang media tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut Fahmi, cadangan itu sedang dikaji bagi memastikan penyelarasan beberapa perkara dalam sektor awam susulan ketidaktentuan situasi geopolitik global ketika ini.

Untuk rekod, Filipina dan Thailand sebelum ini melaksanakan pengaturan bekerja dari rumah bagi agensi kerajaan dan perusahaan negeri bagi mengurangkan penggunaan tenaga ketika ketegangan geopolitik di Asia Barat berlarutan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button