JENAYAH & MAHKAMAH

Dendam lama punca lelaki maut, adik perempuan parah ditetak

SUNGAI PETANI – Motif kejadian seorang lelaki maut ditetak, manakala adik perempuannya parah di hadapan rumah mereka di Taman Kempas, di sini awal pagi kelmarin, didapati berpunca daripada dendam lama.

Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah, setakat ini empat individu termasuk wanita ditahan bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, tiga suspek iaitu dua lelaki dan seorang wanita ditahan sejurus selepas kejadian sebelum polis membuat satu lagi tangkapan semalam.

“Pada hari berikutnya (semalam) kira-kira pukul 5.30 petang, kita buat satu lagi tangkapan membabitkan lelaki India berusia 22 tahun yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan ujian air kencing positif dadah.

“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini.

Adzli berkata, siasatan polis mendapati kesemua empat suspek itu mengenali mangsa dan adiknya, malah mereka pernah tinggal berhampiran.

“Kita dapati motif dia adalah pelbagai, namun kita boleh cakap ini adalah dendam lama yang dipendam secara diam walaupun mereka bercampur hari-hari.

“Untuk makluman, keluarga mangsa pernah tinggal bersama keluarga seorang daripada suspek dan mangsa juga pernah bercinta dengan adik-beradik dengan suspek kira-kira empat atau lima tahun lalu,” katanya lagi.

Laporan media sebelum ini menyebut, seoran lelaki berusia lingkungan 20-an ditemukan maut dengan kesan tetakan di hadapan rumahnya, manakala adik perempuannya cedera parah dengan tangan hampir putus dalam kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button