BERITA SEMASA

164 rakyat Malaysia dipindahkan dari zon konflik Asia Barat dijangka tiba di KLIA hari ini

KUALA LUMPUR – Seramai 164 rakyat Malaysia yang dipindahkan dari zon konflik Asia Barat dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 11 pagi, hari ini menerusi penerbangan khas yang diselaraskan kerajaan.

Mereka dibawa pulang menerusi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang dilaksanakan susulan ketegangan keselamatan di rantau berkenaan, memetik laporan Bernama.

Selain rakyat Malaysia, penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines itu turut membawa pulang lima warga Thailand yang merupakan ahli keluarga kepada rakyat Malaysia serta seorang warga Indonesia, menjadikan jumlah keseluruhan penumpang seramai 170 orang.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Krisis Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Fauzan Amin Misnon berkata, kesemua penumpang dipindahkan dari empat negara iaitu Arab Saudi (Jeddah), Syria, Jordan dan Qatar (Doha).

Menurutnya, operasi membawa pulang rakyat Malaysia berkenaan berjalan lancar hasil kerjasama erat dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia di Jeddah serta agensi berkaitan.

“Kesemua mereka pulang secara sukarela selepas berdaftar melalui sistem dalam talian yang disediakan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN),” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan.

Beliau berkata secara keseluruhannya semua penumpang berada dalam keadaan baik, namun terdapat dua individu yang memerlukan perhatian khusus berikutan masalah kesihatan.

Operasi pemindahan itu dilaksanakan atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya semua langkah segera diambil bagi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di kawasan konflik sentiasa terjamin.

Sebelum ini, pesawat Airbus A330-300 yang digunakan dalam misi berkenaan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada pukul 8.35 malam waktu tempatan, dengan tempoh singkat diperuntukkan untuk proses pengambilan penumpang.

Operasi itu diselaraskan oleh MKN dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri melalui pejabat perwakilan Malaysia di negara-negara terbabit.

Penerbangan tersebut turut disertai wartawan dan jurufoto Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) serta jurukamera Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketegangan di Asia Barat dilaporkan semakin memuncak sejak 28 Februari lalu susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran, yang kemudiannya dibalas Tehran dengan serangan terhadap kepentingan AS di negara Teluk.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button