Status kontrak Azam Baki belum diputuskan
KUALA LUMPUR – Status kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dijadual berakhir pada 12 Mei ini masih belum diputuskan oleh kerajaan.
Perkembangan itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, susulan dakwaan agensi berita di Singapura yang melaporkan kontrak Azam Baki tidak akan disambung.
“Mereka tidak bertanya kepada saya, biar mereka tanya saya dulu,” katanya ringkas lapor Astro Awani pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026), di sini.
Sebelum ini, sebuah agensi berita di Singapura mendakwa kontrak Azam tidak akan dilanjutkan dengan memetik sumber peringkat tinggi yang identitinya dirahsiakan.
Laporan itu turut menyatakan kerajaan berdepan tekanan besar berhubung siasatan pemilikan saham oleh Azam, sekali gus mendakwa perkhidmatannya bersama SPRM tidak akan diteruskan.
Terdahulu, media antarabangsa Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham miliknya yang bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus serta mengikut prosedur yang ditetapkan.
Kerajaan turut menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Laporan daripada Jawatankuasa Khas Siasatan itu telah diterima oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Selasa.
Laporan tersebut kemudian dipanjangkan kepada Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan satu mesyuarat dijangka diadakan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








