
Pelajar kolej maut leher terkena sabit
IPOH – Seorang pelajar kolej maut selepas dipercayai terkena bilah sabit pada bahagian leher dalam satu kejadian di Teluk Intan semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Datuk Dr Bakri Zainal Abidin berkata, mangsa lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurutnya, seorang lagi mangsa berusia 17 tahun yang juga rakan sekolej mangsa turut cedera pada tangan dan kini menerima rawatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebilah sabit berhulu panjang yang dibawa oleh seorang lelaki menaiki motosikal terkena pada bahagian leher mangsa yang ketika itu turut menunggang motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu polis menahan dua lelaki warga asing berusia 39 dan 52 tahun bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas sebilah sabit serta sebuah motosikal yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya lagi.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian akibat kecuaian.
Tambah beliau, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan bagi permohonan reman untuk membantu siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








