Agensi perisikan Norway tahan rakyat Malaysia dipercayai terlibat aktiviti risikan
OSLO – Agensi perisikan Norway, PST dilaporkan menahan seorang warga Malaysia kerana dipercayai terbabit dalam kesalahan pengintipan dengan melakukan aktiviti risikan isyarat di negara itu.
Menurut laporan The Nordic Page, suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada petang Jumaat lepas.
Pengintipan dipercayai dilakukan berhampiran lokasi penting, termasuk Kuarters Kerajaan, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan.
Pegawai pendakwa polis di PST, Thomas Fredrik Blom, memaklumkan pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan untuk mengumpul bukti.
Agensi tersebut turut percaya, aktiviti suspek berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Difahamkan, suspek seorang pelajar yang tidak berdaftar di mana-mana institusi pendidikan Norway, hanya berada di negara tersebut untuk tempoh singkat.
Dia ditangkap pada 8 September dan kemudiannya ditahan selama empat minggu, dengan dua minggu pertama di dalam sel berasingan.
Pada masa sama, polis turut merampas pelbagai peranti pembawa data dan barangan elektronik daripada suspek.
Tuduhan terhadapnya adalah berdasarkan Seksyen 121 Kanun Jenayah, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun bagi individu yang mengumpul atau memiliki maklumat rahsia yang boleh membahayakan kepentingan asas negara.
Pihak berkuasa mengesyaki mungkin terdapat lebih banyak individu yang terbabit dalam kes itu.
Sementara itu, suspek dilaporkan enggan memberikan sebarang kenyataan kepada PST dan peguam bela, Aase Karin Sigmond, menjelaskan dia berada dalam keadaan tidak sihat berikutan penahanan yang disifatkan ‘dramatik’.