JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan akhir lelaki bunuh ibu ditolak, hukuman 40 tahun penjara, 12 sebatan kekal

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 40 tahun dan 12 sebatan terhadap seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh ibu kandungnya sebelum mayat mangsa ditemui dalam tangki septik di belakang rumah mereka, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebulat suara menolak rayuan akhir Mohammad Firdaus Ismail, 37, untuk mengetepikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 Ogos 2024.

Turut bersidang ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Dalam penghakiman, Wan Ahmad Farid menyifatkan perbuatan tertuduh sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan kerana sanggup membunuh ibu yang melahirkannya.

“Perbuatan itu adalah keji dan cela. Cara kesalahan dilakukan serta tindakan melupuskan mayat si mati menambahkan lagi keseriusan kes ini,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menolak rayuan dan mengekalkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan.

Pada 15 April 2022, Mahkamah Tinggi Butterworth menjatuhkan hukuman mati terhadap Mohammad Firdaus selepas didapati bersalah membunuh ibunya, Faridah Mat Hashim, 63.

Mangsa dibunuh di rumah mereka di Lot 191, Mukim D, Jalan Bharu, Balik Pulau, Pulau Pinang antara 6.30 pagi hingga 8 malam pada 9 September 2018.

Faridah yang dilaporkan hilang kemudian ditemui mati dalam tangki septik di belakang kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan kemudiannya mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkapan pada 25 September 2018 serta 12 sebatan.

Terdahulu, peguam, Datuk Seri K Kumaraendran memohon agar hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya telah insaf atas perbuatan dilakukan.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Zain Ibrahim berhujah bahawa hukuman 40 tahun penjara dan 12 sebatan adalah setimpal serta tidak berlebihan, malah perlu mengambil kira kepentingan awam.

Beliau menegaskan walaupun adik-beradik tertuduh telah memaafkannya, mesej tegas perlu disampaikan kepada masyarakat.

“Perayu bukan sahaja membunuh ibu kandungnya sendiri, malah menyembunyikan jasad mangsa di dalam tangki septik selama enam hingga tujuh hari sehingga ditemui dalam keadaan reput dan berulat,” katanya.

Menurut pendakwaan, mangsa mengalami dua serangan di bahagian leher selain kecederaan akibat luka hirisan dan tikaman pada badan, kepala, muka serta anggota lain.

Mahkamah berpendapat tiada alasan munasabah untuk campur tangan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sekali gus mengekalkan hukuman sedia ada.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button