JENAYAH & MAHKAMAH

Istilah ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ dikembali semula dalam Seksyen 233 AKM

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan untuk mengembalikan perkataan ‘menyinggung’ dan ‘menjengkelkan’ ke dalam peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM) selepas mendapati kedua-dua istilah itu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu sekali gus membenarkan sebahagian rayuan Kerajaan Malaysia dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang membatalkan penggunaan kedua-dua perkataan berkenaan.

Seksyen 233 AKM memperuntukkan bahawa adalah menjadi suatu kesalahan jenayah bagi mana-mana individu yang menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi untuk membuat komunikasi dalam talian yang bersifat lucah, tidak sopan, palsu, mengancam atau menyinggung perasaan dengan niat untuk mengganggu, mendera, mengugut atau mengacau orang lain.

Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh, memetik laporan Buletin TV3.

Turut bersidang ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan pada tahun lalu memutuskan bahawa perkataan ‘menghina’ dan ‘menjengkelkan’ dalam Seksyen 233 AKM adalah tidak berperlembagaan, selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang menolak saman beliau.

Dalam rayuan itu, Quah mencabar penggunaan istilah berkenaan dengan alasan ia bercanggah dengan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perkara 10(1) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan terbaharu Mahkamah Persekutuan ini sekali gus mengesahkan kesahan peruntukan Seksyen 233 AKM dan menegaskan semula bidang kuasa undang-undang dalam mengawal komunikasi dalam talian bagi melindungi ketenteraman awam serta hak individu lain.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button