Dr Ahmad Samsuri, Radzi Jidin sesuai dilantik Ketua Pembangkang baharu
KUALA NERUS – Dua tokoh iaitu Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin dilihat paling sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang yang baharu.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Razali Idris, Ahmad Samsuri yang baharu dilantik sebagai Pengerusi PN bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya adalah teknokrat dan pemimpin yang dilahirkan di luar keturunan politik, lapor BH Online.
“Pada pandangan peribadi saya, dua ahli Parlimen paling sesuai dilantik sebagai ketua pembangkang adalah Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri mewakili PAS atau Datuk Dr Radzi yang juga Naib Presiden BERSATU. Jika Ahmad Samsuri atau Radzi dilantik sebagai Ketua Pembangkang, ia akan memberi cabaran kepada Pakatan Harapan (PH).
“Jika PAS berasa perlu melakukan sedikit kelainan, terutama membabitkan pelantikan Ketua Pembangkang, Radzi paling sesuai dan layak,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Terengganu berkata, Ketua Pembangkang baharu perlu dilantik menggantikan Hamzah yang setakat ini tidak mempunyai parti selepas dipecat BERSATU, bulan lalu.
“Belum pernah berlaku pemimpin (ahli Parlimen) yang tidak mewakili parti menjadi Ketua Pembangkang,” tambahnya.
Beliau dalam sama turut mengakui PAS mempunyai kelebihan dalam menamakan calon Ketua Pembangkang baharu kerana parti itu mempunyai kerusi paling banyak di Dewan Rakyat berbanding parti komponen PN yang lain.
PN dijangka mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Sabtu ini, termasuk memutuskan Ketua Pembangkang baharu di Dewan Rakyat.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cadangan Hamzah untuk menyertai Parti Keluarga Malaysia, Razali berkata, jika bekas Timbalan Presiden BERSATU itu mempunyai roh perjuangan dan bukannya mahu menjadi pemimpin tertinggi mana-mana parti, beliau boleh saja menyertai mana-mana parti utama sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








