1 Syawal jatuh Jumaat? Ini penjelasan Jabatan Mufti Perak
KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi awal berhubung tarikh 1 Syawal 1447H susulan kebimbangan kemungkinan Hari Raya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, berbeza dengan jangkaan awal takwim yang menyatakan hari Sabtu.
Jabatan Mufti Negeri Perak memaklumkan, pihaknya mengambil maklum kerisauan sebahagian masyarakat berhubung penularan kemungkinan tarikh 1 Syawal yang dikatakan berpotensi jatuh pada hari Jumaat.
Menurutnya, takwim hijri yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan, namun penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan serta pengisytiharan pihak berautoriti.
“Sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu, yang mana menurut prinsip falak, apabila hilal berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, ia secara umumnya mempunyai potensi untuk dilihat.
Bagaimanapun, dalam konteks Malaysia, tahap kebolehnampakan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dan matahari (elongasi).
“Hilang yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya ia telah wujud. Oleh itu, kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, faktor cuaca seperti awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera merupakan cabaran utama dalam proses cerapan.
Walaupun secara hisab hilal dijangka mempunyai potensi untuk dilihat walaupun tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang kenampakan sebenar.
“Sebaliknya, dalam keadaan atmosfera yang sangat baik dan jarang berlaku di Malaysia, hilal kemungkinan kadangkala berjaya dicerap.
“Ini menunjukkan bahawa keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan, tetapi juga realiti cerapan di lapangan.
Mengulas kebimbangan situasi tahun 2022 berulang, jabatan itu menjelaskan parameter hilal setiap tahun adalah berbeza,” menurut kenyataan itu lagi.
“Pada tahun ini kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar untuk dicerap berbanding tahun 2022, maka secara teknikal tahap kebolehnampakannya juga adalah lebih sukar.
“Namun begitu, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja,” jelasnya.
Sehubungan itu, masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi awal berhubung tarikh Hari Raya Aidilfitri, menunggu pengumuman rasmi pihak berautoriti serta bertenang dan memahami bahawa perbezaan jangkaan adalah perkara yang boleh berlaku dalam disiplin falak.
Jabatan itu turut menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan umat Islam dalam menyempurnakan Ramadan dan menyambut Syawal dalam suasana penuh ketenangan dan kesyukuran,” menurut kenyataan itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















