BERITA SEMASA

Mahkamah Tinggi batal arahan serah 400 hektar tanah FELDA Sahabat 22 & 23

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan arahan Jabatan Tanah dan Ukur Negeri Sabah berhubung cadangan penyerahan 400 hektar tanah di FELDA Sahabat 22 dan 23 yang dikaitkan dengan tuntutan Tanah Adat Anak Negeri (NCR) kelmarin.

Susulan keputusan itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memaklumkan tanah berkenaan kekal di bawah hak milik agensi tersebut.

FELDA yang diwakili Tetuan Ronny Cham & Co mengambil maklum serta menghormati keputusan mahkamah bertarikh 25 Februari 2026 itu.

“Untuk rekod, tanah tersebut telah diperoleh secara sah oleh FELDA melalui pajakan selama 99 tahun yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1984.

“Sejak 2009, kawasan ini menjadi subjek tuntutan oleh beberapa kumpulan yang mendakwa mempunyai hak Tanah Adat Anak Negeri (NCR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas FELDA, bagi mendapatkan kepastian dan pencerahan terhadap isu berkenaan, pihaknya telah memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat sebelum ini.

Dalam pada itu, FELDA memastikan komitmen untuk terus melaksanakan pembangunan dan pengurusan ladang secara mampan demi kepentingan peneroka.

“FELDA komited untuk meneruskan pembangunan dan pengurusan ladang secara mampan demi kepentingan peneroka serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Negeri Sabah dan negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button