10 keluarga mangsa ribut di Taiping dipindahkan ke PPS
TAIPING – Sebanyak 10 keluarga yang terjejas akibat ribut serta pokok tumbang di Taman Damai, Simpang, di sini hari ini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS), Mohd Nasrul Menhat, mangsa berlindung di PPS Dewan Serbaguna Taman Kaya yang dibuka pukul 6.30 petang tadi, lapor BERNAMA.
“Terdapat lebih 10 keluarga yang tidak dapat memasuki kediaman masing-masing berikutan kerja pembersihan rumah tidak dapat dilaksanakan pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang memaklumkan, setakat pukul 8 malam tadi, seramai 92 mangsa daripada 10 keluarga terbabit ditempatkan di PPS berkenaan.
Antara kawasan terjejas ialah Taman Kaya, Kampung Sentosa, Batu 2 ½, Kampung Pak Darus, Taman Ria, Taman Damai, Taman Pengkalan Indah, Pengkalan Aur, PPR Simpang Perdana dan Jalan Simpang.
Malah, kejadian itu turut menyebabkan ada kediaman ditimpa pokok tumbang, bumbung rumah diterbangkan angin kuat, bumbung premis perniagaan runtuh, kerosakan khemah bazar Ramadan, kaki lima Masjid Pengkalan Aur runtuh, kerosakan pagar Kubur Masjid Pengkalan Aur dan bumbung Surau Taman Pengkalan Indah tercabut, selain kerosakan beberapa kenderaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








