
[VIDEO] Stadium Titiwangsa kini ‘Home of Sepak Takraw’ – Hannah
KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh mengumumkan Stadium Titiwangsa kini secara rasmi dijenamakan sebagai ‘Home of Sepak Takraw’, sekali gus menjadi gelanggang tetap kepada Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.
@malaysiatribuneHannah Yeoh mengumumkan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’ dengan peruntukan naik taraf mencecah RM200,000 oleh DBKL. Langkah ini dijangka memperkukuh pembangunan sepak takraw negara, selain menjadi pemangkin kejayaan Wilayah Persekutuan menjelang SUKMA. #malaysiatribune #beritasemasa #dbkl #sukan
Menurutnya, stadium tertutup milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu merupakan satu-satunya fasiliti seumpamanya di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan dan sering menjadi lokasi pilihan penganjuran program sukan melibatkan agensi kerajaan, swasta, sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Susulan prestasi cemerlang pasukan sepak takraw di peringkat antarabangsa tahun lalu, Jabatan Wilayah Persekutuan dan DBKL bersetuju menjadikan Stadium Titiwangsa sebagai ‘Home of Sepak Takraw’,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, kerja-kerja penambahbaikan dilaksanakan secara berfasa dengan kos fasa pertama sekitar RM80,000, manakala keseluruhan peruntukan DBKL bagi projek berkenaan dianggarkan mencecah RM200,000.
“Antara penambahbaikan dilakukan termasuk penghasilan mural dan identiti khas ‘Home of Sepak Takraw’, mengecat semula bahagian luar serta dalam bangunan, pemasangan papan skor LED baharu, menaik taraf ruang VIP dan VIP box di tingkat satu, surau, bilik media, stor, tandas lelaki dan wanita, selain penyediaan kelengkapan peralatan sepak takraw, bilik persalinan serta bilik mesyuarat,” katanya lagi.
Hannah turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur dan pihak DBKL atas kerjasama menjayakan projek tersebut.
“Kita tidak perlu membina stadium baharu, sebaliknya hanya membuat penjenamaan semula bagi memberi fokus kepada pembangunan sukan ini.
“Namun begitu, stadium ini tetap terbuka untuk kegunaan sukan lain dan boleh disewa seperti biasa,” katanya lagi.
Mengulas mengenai penganjuran kejohanan, beliau menyifatkan lokasi stadium yang strategik dan mudah diakses memudahkan penyokong hadir memberi sokongan.
Walaupun kapasiti agak terhad, stadium itu lebih mudah dipenuhi dan sebelum ini pihak penganjur turut menyediakan skrin besar di luar bagi membolehkan orang ramai mengikuti perlawanan.
“Sepak takraw adalah sukan yang tidak memerlukan kos tinggi tetapi mampu membawa pulangan besar kepada negara, termasuk kejayaan di peringkat Sukan SEA dan Piala Dunia,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, Hannah berkata, akademi sepak takraw di Kuala Lumpur dikendalikan oleh Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.
Beliau berkata, sukan berperanan penting dalam pembangunan belia bandar, khususnya dari sudut kesihatan mental dan pembinaan keyakinan diri.
“Sebelum ini kita memperkenalkan sukan tradisi Melayu ini ke sekolah Cina dan sekolah Tamil supaya pelajar pelbagai kaum dapat bermain bersama.
“Sukan di bandar bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi juga medium perpaduan untuk menyatukan generasi muda,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








