Neymar beri bayangan bakal bersara selepas 2026
SANTOS – Bintang sensasi Brazil, Neymar memberi bayangan bakal menamatkan kariernya pada penghujung 2026 selepas melalui musim yang penuh dengan kecederaan, lapor agensi berita antarabangsa.
Penyerang berusia 34 tahun itu kembali menyarung jersi Santos FC, kelab yang mencungkil namanya sejak remaja, selepas kontraknya bersama Al Hilal FC berakhir musim lalu.
Namun kepulangan tersebut masih diiringi episod kecederaan berulang yang menjejaskan rentak permainannya.
Mengakui masa depannya masih samar, Neymar berkata beliau kini memilih untuk menjalani kehidupan dan kerjayanya tanpa terlalu banyak berharap.
“Saya tidak tahu apa yang akan berlaku. Mungkin apabila Disember tiba, saya mahu bersara. Sekarang saya hanya meneruskan hidup seperti biasa,” katanya kepada saluran dalam talian Brazil, CazeTV.
Tahun 2026 disifatkan amat penting bukan sahaja buat Santos, malah kepada skuad kebangsaan Brazil yang bakal mengharungi kempen Piala Dunia FIFA 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.
Menurut Neymar, beliau masih menyimpan impian untuk kembali memperkuatkan negaranya di pentas tertinggi dunia itu.
Sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman Brazil dengan 79 gol, ketiadaan beliau sejak Oktober 2023 akibat kecederaan lutut nyata dirasai.
Namun statusnya untuk disenaraikan ke Piala Dunia masih menjadi tanda tanya.
Pengendali baharu Brazil, Carlo Ancelotti, menegaskan hanya pemain yang benar-benar cergas akan dipertimbangkan bagi menghadapi kejohanan berkenaan.
Neymar kini hampir pulih sepenuhnya selepas lebih dua bulan berehat dan dijangka kembali disenaraikan dalam skuad Santos dalam masa terdekat, sekali gus membuka peluang untuknya membuktikan tahap kecergasan menjelang Piala Dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








