Ramadan dan niat: Bagaimana satu kalimah mengubah 30 hari
HARI ini umat Islam di Malaysia sudah memasuki hari kedua dalam menjalani ibadah puasa.
Saban tahun, Ramadan menjadi tetamu yang sangat dinantikan masyarakat Muslim kerana hadirnya sentiasa membawa harapan baru.
Namun, ramai antara kita yang masuk ke bulan barakah ini dalam keadaan ‘mengikut arus’ tanpa mengemaskini niat, mahu pun menetapkan hala tuju.

Sedangkan dalam Islam, perubahan besar sering bermula daripada sesuatu yang sangat kecil dan tersembunyi iaitu ‘niat’.
Ia tidak kelihatan, tidak didengar, tetapi menentukan nilai seluruh amalan.
Ramadan tanpa niat yang jelas ibarat kapal tanpa kompas, ia mampu bergerak tetapi hilang arah tujuan.
Niat tunjang setiap amalan
Islam mengajar kita bahawa roh kepada setiap perbuatan adalah niat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat.” – Riwayat Bukhari & Muslim
Hadis ini sangat ringkas, tetapi jelas mengingatkan kita tentang pentingnya niat sebelum melakukan apa jua perkara.
Hadis ini turut menegaskan kepada kita bahawa kualiti amal akan ditentukan oleh tujuan dalam hati.
Dua orang boleh berpuasa dan melakukan amalan yang sama di bulan Ramadan, tetapi nilai mereka di sisi Allah berbeza bergantung pada apa yang mereka telah niatkan.
Menariknya, apa yang disebutkan oleh Rasulullah SAW melalui hadis ini seiring dengan kajian psikologi moden.
Sarjana bidang ini telah membuktikan bahawa manusia berubah bukan kerana keazaman semata-mata, tetapi kerana niat mereka yang jelas.
Individu yang menetapkan niat yang jelas dan sedar mempunyai tahap ketekunan dan kawalan diri yang lebih tinggi untuk mencapai apa yang mereka mahukan.

Perubahan emosi, daya tahan dan prestasi seseorang sering bermula daripada satu keputusan kecil yang berlaku jauh dalam ruang fikirannya.
Apa yang telah diajarkan dalam Islam lebih 1,400 tahun lalu, bahawa niat bukan sekadar lintasan hati, tetapi penentu nilai seluruh kehidupan adalah benar.
Allah SWT hadiahkan Ramadan setiap tahun sebagai peluang untuk kita ‘reset’ semula niat, membina semula kejatuhan diri dan menghubungkan kembali hati kepada Allah.
Di sinilah kekuatan niat benar-benar memainkan peranan, hanya satu kalimah di dalam hati, tetapi mampu mengubah 30 hari menjadi perjalanan rohani yang berkesan.
Tanpa ikhlas, amalan sia-sia
Dalam menetapkan niat, ada satu perkara yang sangat penting untuk diberi perhatian iaitu ikhlas.
Ibnu al-Qayyim menjelaskan bahawa ikhlas ialah melakukan setiap amal hanya dengan tujuan ketaatan kepada Allah SWT.
Dalam erti kata yang lain, ikhlas bermaksud kita melakukan sesuatu tindakan atau pekerjaan hanya kerana ingin mendapat ganjaran daripada Allah SWT, bukan kerana faktor yang lain, seperti ingin dilihat atau dipuji oleh orang lain atau kerana kepentingan dunia yang lain.
Dalam hal ini, Allah SWT sendiri menegaskan bahawa ibadah hanya diterima apabila dilakukan dengan ikhlas, sebagaimana firman Nya yang bermaksud:
“Dan mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan ikhlas lagi tetap teguh di atas tauhid…” – Surah al Bayyinah, ayat 5
Ayat ini bukan sahaja menekankan tentang niat yang jelas, tetapi mengajar kita bahawa ikhlas adalah jiwa kepada setiap amal.
Malah, hadis Nabi SAW turut menguatkan konsep ini melalui sabdanya:
“Allah tidak melihat rupa dan harta kamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu.” – Riwayat Muslim
Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi satu latihan penyucian jiwa agar semua amalan kembali kepada asas iaitu keikhlasan.
Ikhlas adalah kekuatan rohani yang memelihara seseorang untuk terus istiqamah dalam kebaikan tanpa mengharap pujian atau pengiktirafan manusia.
Kecil pada manusia, besar di sisi Allah
Kadang-kadang kita sebagai manusia sering meremehkan tindakan atau pekerjaan yang kecil.
Sedangkan Islam mengajar kita sebaliknya. Allah SWT berfirman dalam Surah al Baqarah, ayat 261 yang bermaksud:
“Dan Allah melipatgandakan bagi sesiapa yang Dia kehendaki. Allah Maha Luas (kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini menjelaskan, ganjaran yang dilipat ganda oleh Allah SWT itu adalah bergantung kepada tahap keikhlasan seseorang dalam amalannya.
Abdullah bin al-Mubarak berkata:
“Ada amalan yang kecil tetapi menjadi besar kerana niat dan ada amalan yang besar tetapi menjadi kecil kerana niat”.
Dengan amalan yang sedikit tetapi dilakukan dengan penuh ikhlas dan konsisten, ganjarannya boleh menjadi berlipat kali ganda.
Nabi SAW turut bersabda:
“Sesiapa yang bersedekah walau seberat sebiji kurma daripada harta yang halal (Allah tidak menerima kecuali yang halal), maka Allah menerima sedekah itu dengan tangan kanan‑Nya. Kemudian Allah akan menggandakan untuk pemiliknya seperti salah seorang daripada kamu yang menternak anak kuda, sehingga ia menjadi sebesar gunung.”
Nah, sebelum kita berfikir untuk meningkatkan aktiviti ibadah dalam bulan Ramadan, perkara pertama yang harus dilakukan adalah mengukuhkan niat.
Amalan biasa menjadi luar biasa apabila disertai dengan niat yang betul.
Bahkan perkara harian seperti bangun sahur, keluar bekerja atau menyediakan juadah berbuka untuk keluarga boleh menjadi ibadah, jika diniatkan untuk mencari reda Allah.

Sebagai kesimpulan, marilah sama-sama kita mencontohi para sahabat RA dalam menyambut bulan Ramadan yang mulia.
Mereka tidak melangkah ke bulan ini dalam keadaan terburu buru, tetapi dengan hati yang telah dipersiapkan.
Anas bin Malik RA menceritakan bahawa para sahabat akan berdoa kepada Allah selama enam bulan agar dipanjangkan umur untuk bertemu Ramadan, dan selepas Ramadan mereka berdoa selama enam bulan lagi agar amalan mereka diterima.
Jadikan Ramadan tahun ini sebagai bulan yang paling bermakna dalam hidup kita.
Mulakan dari saat ini dengan meluruskan niat, agar setiap ibadah, setiap amalan dan setiap pekerjaan yang bakal kita lakukan sepanjang Ramadan bebas daripada tujuan dunia dan hanya tertumpu untuk mencari reda Allah semata‑mata.
Satu niat yang benar boleh mengubah 30 hari menjadi perjalanan rohani yang bermakna dan mungkin menjadi titik permulaan untuk kehidupan yang lebih dekat dengan Allah SWT.
ARTIKEL OLEH:
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















