LUAR NEGARA

49 maut kehausan selepas lori rosak di Gurun Sahara

NIAMEY – Seramai 49 orang dilaporkan maut akibat kehausan selepas lori yang dinaiki mereka terkandas di kawasan terpencil Gurun Sahara di Niger, menurut pihak berkuasa negara itu semalam.

Mangsa merupakan sebahagian daripada kumpulan yang dalam perjalanan pulang dari Mali untuk menyambut satu perayaan Islam sebelum kenderaan yang dinaiki mereka mengalami kerosakan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pentadbiran wilayah Agadez menerusi Facebook, tragedi itu berlaku di kawasan terpencil kira-kira 80 kilometer ke barat Assamaka, pintu sempadan utama antara Niger dan Algeria yang terletak berhampiran sempadan Mali.

“Seramai 49 orang meninggal dunia akibat kehausan di kawasan yang terpencil selepas mereka terperangkap tanpa bekalan air,” menurut kenyataan itu.

Pihak berkuasa menjelaskan, mangsa gagal meneruskan perjalanan apabila lori berkenaan rosak dan tidak dapat dibaiki walaupun pemandu, pembantunya serta penumpang berusaha memperbaikinya.

“Tanpa bekalan air dan terperangkap di kawasan yang sangat mencabar dengan suhu melampau serta ketiadaan sumber bekalan, peluang untuk terus hidup menjadi amat tipis,” katanya.

Mayat semua mangsa kemudiannya dikebumikan dalam kubur besar-besaran.

Bagaimanapun, dua individu berjaya terselamat selepas berjalan kaki lebih 50 kilometer untuk mencari sumber air sebelum meneruskan perjalanan ke Assamaka bagi memaklumkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.

Kawasan gurun tersebut sememangnya dikenali sebagai laluan transit bagi migran dari beberapa negara Afrika yang cuba menuju ke Eropah.

Dalam beberapa kejadian sebelum ini, ramai migran dilaporkan maut akibat kehausan, kebuluran dan cuaca panas melampau ketika merentasi Gurun Sahara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button