BERITA SEMASADALAM NEGERI

2 Disember hari terakhir Tengku Zafrul di MITI

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan bahawa 2 Disember ini merupakan hari terakhir beliau menerajui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Beliau mengakui, wujud sedikit rasa hiba sambil menyifatkan peralihan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan mengikut keperluan undang-undang.

“Saya memang berasa sedikit sedih dengan peralihan ini… tetapi secara undang-undang, seseorang perlu berada dalam Dewan Rakyat untuk berkhidmat sebagai menteri.

“Jadi saya tidak boleh lagi meneruskan peranan tersebut,” kata beliau memetik laporan Astro Awani.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025, di sini, hari ini.

Menurut Tengku Zafrul, ketika ini segala keputusan mengenai pengganti dan hala tuju kementerian diserahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan kepimpinan baharu kerajaan.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul memberitahu, fokus utama beliau kini hanyalah memastikan proses transisi berjalan lancar.

“Tugas saya sekarang adalah untuk menguruskan peralihan sebaik mungkin. Selebihnya, semuanya terserah kepada Perdana Menteri,” ujar beliau.

Tengku Zafrul turut menjelaskan, tiada perbincangan rasmi setakat ini mengenai kemungkinan beliau menyambung peranan tertentu di MITI.

“Jika diperlukan, saya sudah maklumkan kepada pimpinan bahawa saya sedia membantu

“Buat masa ini, saya hanya menunggu arahan daripada Perdana Menteri mengenai apa-apa peranan selepas ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan belum menerima maklumat mengenai siapa yang bakal menggantikannya sebagai Menteri MITI.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan MITI yang sentiasa berada di sisinya ketika berucap pada sidang media bagi mengumumkan Kad Laporan Prestasi MITI Suku Ketiga 2025 hari ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button