1,878 Komuniti MADANI gerak semangat patriotisme sempena Bulan Kebangsaan
IPOH – Sebanyak 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara akan digerakkan bagi menyemarakkan semangat patriotisme menerusi pelbagai program bersempena sambutan Bulan Kebangsaan sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad berkata, pendekatan berasaskan komuniti itu dipilih bagi memastikan penghayatan semangat cintakan negara dapat dipupuk secara lebih dekat dan berkesan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, antara pengisian yang dirancang ialah aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang secara bersama, deklamasi sajak, perkongsian pengalaman berkaitan kemerdekaan serta program kejiranan yang melibatkan penyertaan penduduk setempat.
“Kita mahu program ini bermula dari rumah dan komuniti sendiri. Ahli-ahli Komuniti MADANI boleh berkumpul di sebuah rumah, berkongsi kisah kemerdekaan, memasang Jalur Gemilang dan seterusnya mengajak jiran-jiran melakukan perkara yang sama.
“Dari satu rumah akan berkembang ke satu kawasan, kemudian membentuk komuniti yang mempunyai semangat patriotisme yang tinggi,” katanya memetik laporan BERNAMA.
Terdahulu, Erwin Khairul menghadiri Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 (MPBKKJG 2026) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), di sini hari ini.
Baca juga : Fahmi seru rakyat terus pelihara perpaduan, pertahan kedaulatan negara sempena Bulan Kebangsaan
Erwin Khairul berkata, usaha memupuk semangat cintakan negara perlu bermula daripada individu sebelum berkembang kepada keluarga, jiran, komuniti, daerah, negeri dan akhirnya membentuk sebuah negara yang bersatu padu.
Beliau berkata, Jabatan Penerangan turut menggalakkan Komuniti MADANI menjemput golongan veteran atau individu yang melalui era awal kemerdekaan bagi berkongsi pengalaman mereka supaya generasi muda lebih memahami nilai sebenar kemerdekaan.
“Anak muda hari ini perlu menyedari bahawa keamanan, kemakmuran dan kebebasan yang dinikmati bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya hasil perjuangan generasi terdahulu yang mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata, JAPEN akan terus mendekati masyarakat menerusi pendekatan turun padang dan penglibatan secara langsung bersama komuniti kerana usaha menyemai semangat patriotisme lebih berkesan apabila dilaksanakan bersama rakyat, bukannya sekadar menyampaikan arahan.
Dalam perkembangan sama, Erwin Khairul berkata, JAPEN akan mempergiatkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) sebagai pendekatan utama bagi menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan HKHM 2026.
Katanya, kempen itu bertujuan menggalakkan orang ramai membeli sendiri Jalur Gemilang untuk dikibarkan di kediaman masing-masing sebagai lambang kecintaan kepada negara, tanpa bergantung kepada pemberian bendera secara percuma oleh kerajaan.
“Kalau kita boleh membeli hadiah yang mahal untuk orang yang kita sayang, kenapa kita tidak boleh membeli Jalur Gemilang sebagai hadiah kepada negara yang kita cintai?
“Harganya pun tidak sampai RM10, malah di sesetengah tempat boleh diperoleh pada harga kurang RM3. Marilah kita beli sendiri dan kibarkan di rumah sebagai tanda kasih sayang kepada negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















