1,500 tentera AS siap siaga, Trump pertimbang kerah pasukan ke Minneapolis
MINNEAPOLIS – Seramai 1,500 anggota tentera Amerika Syarikat yang kini ditempatkan di Alaska berada dalam keadaan siap siaga untuk kemungkinan dikerahkan ke Minneapolis susulan demonstrasi anti-Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) yang berlarutan di bandar itu.
Seorang pegawai pertahanan AS memaklumkan kepada CBS News bahawa penempatan tentera berkenaan merupakan antara pilihan yang sedang dipertimbangkan Presiden Donald Trump sekiranya beliau memutuskan untuk menggunakan anggota tentera aktif bagi menangani situasi berkenaan.
Bagaimanapun pegawai itu berkata, tiada keputusan muktamad dibuat setakat ini mengenai penugasan pasukan dari Alaska tersebut.
Anggota tentera berkenaan adalah sebahagian daripada Divisyen Udara Ke-11 yang berpangkalan di Fort Wainwright.

Ketegangan di Minneapolis meningkat susulan kematian warga AS, Renee Good yang ditembak mati oleh seorang ejen ICE awal bulan ini sekali gus mencetuskan gelombang protes anti-ICE.
Pihak berkuasa Minnesota sebelum ini menggesa penunjuk perasaan supaya kekal aman dan tertib.
Datuk Bandar Minneapolis, Jacob Frey dalam temu bual bersama program Face the Nation di CBS semalam, mengecam ancaman Trump untuk menghantar lebih ramai tentera, sambil menyifatkan kehadiran ribuan ejen ICE di bandar itu sebagai satu bentuk ‘kuasa pendudukan’.
“Anda boleh menggunakan apa sahaja retorik, tetapi apabila anda mempunyai 3,000 ejen ICE dan kawalan sempadan berada di bandar ini dan ditambah pula dengan ancaman kononnya 1,500 anggota tentera akan dikerahkan ke sini, ya, itulah yang benar-benar dirasakan,” kata Frey.
Minggu lalu, Trump turut mengancam untuk menguatkuasakan Insurrection Act, undang-undang jarang digunakan yang membolehkan tentera aktif dikerahkan bagi tugas penguatkuasaan undang-undang dalam negara.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang hakim persekutuan AS mengeluarkan perintah mengehadkan taktik kawalan orang ramai oleh ejen ICE terhadap penunjuk perasaan aman.
Hakim Katherine Menendez memutuskan bahawa ejen persekutuan tidak dibenarkan menangkap atau menggunakan semburan lada terhadap demonstrasi yang tidak ganas.
Namun, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Kristi Noem menyifatkan keputusan itu sebagai tidak mengubah operasi ICE di lapangan.
Sementara itu, Pengawal Kebangsaan Minnesota telah digerakkan dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga oleh Gabenor Tim Walz, manakala pasukan keselamatan tambahan turut dikerahkan menjelang demonstrasi tersebut.
Pentadbiran Trump sebelum ini melabelkan Renee Good sebagai ‘pengganas domestik’, dakwaan yang ditolak pemimpin bandar yang menyatakan beliau berada di lokasi sebagai pemerhati undang-undang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








